Ahad, Mei 10, 2009

AmanahRaya nafi lantik ejen korporat

Utusan Online - 13/02/2009

KUALA LUMPUR - Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menafikan memberi persetujuan kepada syarikat Nazra Agency Sdn. Bhd. mewakili institusi itu bagi menggerakkan Program Pengurusan Harta Pusaka dan Penulisan Wasiat di Felda Wilayah Johor.

Pengurus Kanan, Jabatan Pembangunan Pasaran AmanahRaya, Azliah Suhod berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana wakil ejen korporat bagi syarikatnya dalam program tersebut.

"Syarikat agensi itu dilaporkan telah menggunakan logo rasmi AmanahRaya di dalam surat permohonan mereka bagi mengadakan program Wasiat Gerbang Selatan di Felda Taib Andak,'' kata Azliah dalam kenyataannya di sini hari ini.

Selain itu, jelasnya, syarikat agensi yang berselindung di sebalik AmanahRaya itu juga telah membuat surat pelantikan palsu sebagai ejen korporat AmanahRaya dan telah ditandatangani oleh pengurus cawangan Johor.

Jelas beliau, sebelum ini, AmanahRaya telah melantik 26 ejen korporat yang sah menerusi produk Wasiat AmanahRaya terdiri daripada sembilan buah institusi kewangan dan tujuh syarikat swasta di seluruh negara.

Pelantikan itu telah diluluskan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan dikawal selia oleh Jabatan Pengurusan Channel, AmanahRaya.

Tambah Azliah, pihaknya telah membuat satu laporan polis berhubung hal itu bagi melindungi dan melepaskan syarikatnya daripada sebarang tuntutan atau kerugian akibat daripada pengedaran surat palsu tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang masalah yang timbul.

"Saya berharap syarikat agensi yang menggunakan nama AmanahRaya bagi tujuan perniagaan dengan mengutip duit daripada peneroka Felda secara tidak sah supaya memberhentikan kegiatan mereka dengan segera,'' tegasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan kepastian mengenai senarai ejen korporat AmanahRaya boleh menghubungi Talian Mesra AmanahRaya di talian 03-20729999 atau mengunjungi laman web AmanahRaya di http://www.amanahraya.com.my/partner.html

Nota Kaki Warisan MUKMIN:

Warisan MUKMIN Sdn Bhd merupakan salah sebuah agensi Ejen Korporat yang dilantik oleh Amanah Raya Berhad dengan no. kelulusan / No Ejen Korporat EK031. Untuk kepastian sila layari laman web AmanahRaya di http://www.amanahraya.com.my/partner.html

0 ulasan: