Ahad, Mei 10, 2009

Hibah secara bertulis boleh elak salah faham antara waris

Oleh Mohd NoorAizan Md Idrus
Sumber: Berita Harian – 24/10/2007

ELEMEN penting dalam pemberian hibah adalah penerimaan barang hibah atau Al-Qabd. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan sesuatu ke atas barang berkenaan.

Selepas lafaz ijab kabul dibuat, sesuatu hibah menjadi sempurna apabila berlaku al-qabd atau penerimaan barang oleh penerima. Ia bermakna lafaz ijab oleh penghibah dan lafaz kabul oleh penerima saja tidak memadai untuk menyatakan sesuatu lafaz hibah sudah sempurna.

Contohnya, Ali menghibahkan keretanya kepada Ahmad dengan lafaz: "Aku beri kereta ini kepada kamu", lalu dijawab oleh Ahmad, "Baiklah aku terima." Tetapi kereta itu tidak diserahkan kepada Ahmad.

Hibah masih belum sah sehingga kereta itu diberi kepada Ahmad. Walaupun geran kereta berkenaan masih di atas nama Ali, namun Ahmad adalah pemunya kereta selepas hibah itu sempurna.

Persoalan sering ditimbulkan adalah bolehkah pemberi hibah menarik balik hibah yang sudah dibuat? Mengikut Mazhab Syafie, pemberi hibah berhak menarik balik hibah jika belum berlaku serahan barang hibah kepada penerima hibah.

Bagaimanapun, jika sesuatu hibah sudah sempurna dilaksanakan, fuqaha' berbeza pendapat dalam menentukan hukumnya. Mazhab Syafie dan Hambali berpendapat pemberi hibah tidak boleh menarik balik hibah itu, kecuali hibah daripada seorang bapa kepada anaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti orang yang menjilat muntahnya sendiri."

Persoalan bolehkah seseorang sakit tenat atau nazak membuat hibah? Contohnya bapa sakit tenat, tiba-tiba berpesan kepada anaknya supaya membahagi harta iaitu rumah kepada anak pertama dan tanah kepada anak kedua. Adakah pemberian itu dianggap hibah atau wasiat? Jika ia hibah, adakah sah dilaksanakan?

Contoh di atas dinamakan hibah dalam Mard al-Maut, iaitu sakit yang boleh menyebabkan kematian. Hibah dibuat pada waktu itu boleh dihukum mengikut satu daripada dua kaedah iaitu kaedah hibah atau wasiat.

Jika ayah tadi meninggal dunia selepas itu, sebelum al-qabd berlaku, maka hibah itu dihukum sebagai wasiat. Mengikut kaedah wasiat, hibah itu hendaklah dilaksanakan setakat tidak melebihi satu pertiga daripada harta si mati dan penerima hibah pula bukan seorang daripada waris penghibah/simati.

Dalam kes di atas, penerima hibah adalah waris, maka hibah yang sudah menjadi wasiat itu hanya boleh dilaksanakan jika semua waris yang lain bersetuju dengan hibah berkenaan. Tetapi, jika ayah tadi masih hidup dan pulih selepas itu, hibah adalah sah selepas rukun dan syaratnya dipenuhi.

Bolehkah ahli waris membantah hibah yang dibuat selepas pemberi hibah meninggal dunia? Contohnya, seorang ibu tunggal memberi tanah kepada anak angkatnya tanpa memberitahu anak kandungnya yang lain sebelum dia meninggal dunia.

Kes seperti ini banyak berlaku dan ia mewujudkan perpecahan di kalangan waris, lebih-lebih lagi jika hibah itu dibuat secara lisan. Sebab itu, kita menyarankan supaya hibah dibuat secara bertulis dalam bentuk dokumen yang boleh ditunjukkan kepada pihak yang tidak mengetahui wujudnya hibah itu. Ia bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan kejadian fitnah memfitnah antara waris.

Secara asasnya sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada hibah dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu, peguam atau firma berautoriti. Bagaimanapun, ia hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau jika ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas pemberi hibah meninggal dunia.

Pertikaian seperti di atas berlaku kerana harta yang dihibah masih di atas nama pemberi hibah pada masa penghibah meninggal dunia. Secara asalnya, menurut undang-undang, harta itu adalah milik arwah melainkan penerima hibah dapat membuktikan harta itu dihibah kepadanya.

Perkara inilah menyebabkan sesuatu kes itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah. Jika pemberi hibah menghibahkan sesuatu harta dengan terus menukar namanya di dalam dokumen hak milik kepada nama penerima hibah, ia tidak menjadi pertikaian.

Segala-galanya sudah jelas, harta itu bertukar milik kepada penerima hibah seperti tertulis di dalam dokumen hak milik. Jika tidak, amalan hibah yang dibuat pada masa itu perlu disahkan Mahkamah Syariah sebelum boleh dilaksanakan.

Dalam kes Eshah Abdullah dan Lima Yang Lain lawan Che Aminah Abdul Razak dan Dua Yang Lain (J.H bhg 2, Rejab 1425), Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu ketika menerima rayuan perayu membuat ulasan seperti berikut: "Diandaikan jika bangunan itu sudah bertukar kepada nama penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa ke mahkamah, kerana segala-galanya sudah jelas dan tercatat dalam dokumen."

Mahkamah dalam kes itu juga memutuskan bahawa penerimaan hasil sewa bangunan berkenaan oleh penerima hibah adalah qarinah, wujudnya al-qabd atau penerimaan oleh penerima hibah.

Justeru, dinasihatkan sesiapa bercadang untuk membuat hibah supaya terus menukar nama kepada penerima hibah dalam dokumen hak milik harta atau sekurang-kurangnya menandatangani borang pemindahan/penukaran hak milik untuk kemudahan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, bagi harta yang sukar untuk dibuat pemindahan hak milik, hibah seharusnya dibuat secara bertulis dan disaksikan oleh saksi atau dimaklumkan kepada keluarga untuk mengelakkan berlakunya salah faham di kemudian hari.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

1 ulasan:

anuar harun berkata...

Assalam Tuan

Saya ada satu pertanyaan berkaitan Hibah. Bapa saya telah menghibahkan sebahagian hartanya kepada ibu tiri saya tanpa pengetahuan saya dan adik beradik yang lain. Hibah ini berbentuk dokumentasi yang disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah. Setelah bapa meninggal baru kami adik beradik kami mengetahui berkaitan hibah ini.

Untuk pengetahuan tuan, hibah di buat semasa bapa saya dalam keadaan uzur yakni sakit kerana serangan stroke (selepas dua tahun jangka masa di buat hibah). Persetujuan hibah di buat dengan mengambil cap jari bapa saya dan di saksikan oleh makcik saya (sebelah pihak bapa) di mana makcik saya juga tidak memberitahu saya berkaitan hibah tersebut.

Soalan saya, bolehkah saya mencabar hibah ini? Saya ada membuat rujukan ke peguam syarie khusus kepada harta pusaka dan beliau ada menyatakan jika ingin mencabar hanya dari segi teknikal sahaja (hibah tersebut) dan tidak ada jaminan hibah itu boleh dibatalkan.

Semoga mendapat penjelasan pihak tuan.


Anuar