Rabu, April 29, 2009

Falsafah biji benih.

Sejak kegawatan ekonomi pada tahun 1997-98, kerajaan telah menggalakkan rakyat mengamalkan pertanian secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan. Kemudian, sejak Pak Lah menjadi PM Malaysia yang ke 5, industri pertanian telah mengalami tranformasi yang, pada saya, amat membanggakan.
Selaku orang kampung dan menggemari aktiviti pertanian, tidak salah rasanya mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Pak Lah atas keprihatinan beliau dalam perkara ini. Berbanding dengan Tun M, Tun M nampaknya tidak mengambil berat industri pertanian. Tumpuannya hanyalah perdagangan dan perkilangan.
Sebagai anak tani dan anak kampung, saya sendiri ada menyediakan sedikit kawasan di depan rumah untuk pertanian. Beberapa bulan lepas, saya telah meminta segenggam biji benih kacang panjang istimewa. Mengapa saya kata istimewa? Kerana kacang panjang ini telah mengalami pengubahsuaian genetik. Ia tidak memanjat tetapi hanya tumbuh menegak lebih kurang 1 kaki.
Saya telah menanam biji-biji benih itu dalam beg plastik hitam. Kebetulan, ada sebeg biji benih ini sedikit bermasalah. Tanahnya menakung air menyebabkan biji benih itu terapung. Sedikit demi sedikit, akarnya telah tumbuh tetapi oleh sebab tiada pengalaman, saya tak dapat menentukan adakah ia akar atau pucuk? Jadi saya pun main tibai saja, dan timbus semula biji benih itu.
Tidak lama kemudian, pucuknya mulai tumbuh. Akhirnya barulah saya tahu bahawa akarnya tumbuh dulu barulah pucuknya. Tapi sudah terlambat, biji benih itu akhirnya mati walaupun telah tumbuh akar dan pucuk disebabkan bekalan tenaga dan kegagalan benih itu menghasilkan tenaga baru.
Pengajarannya, berbudi kepada tanah memang menguntungkan sebab itu al-Quran mengkiaskan perbuatan suami isteri sebagai pertanian. (senyum sendiri).
Pengajaran kedua, sebelum kita melakukan apa-apa, lebih baik kita mengukuhkan dulu pengkalan atau asas kita, selepas itu barulah kita mara ke hadapan. Janganlah kita menjadi orang yang 'belum duduk sudah berlunjur'. Kelak buruk padahnya.
Inilah juga yang diamalkan oleh Nabi s.a.w di Mekah dan Madinah. Akhir kata, Maha Suci Allah yang Maha Agung.

0 ulasan: